SEORANG lelaki warga emas kerugian lebih RM9 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham dan tawaran awam permulaan (IPO) tidak wujud menerusi aplikasi dalam talian.
Mangsa yang berusia 79 tahun terperdaya dengan tawaran pelaburan berkenaan yang menjanjikan pulangan keuntungan berlipat kali ganda sebelum mengalami kerugian sebanyak RM9.08 juta.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima laporan berhubung kes berkenaan daripada mangsa baru-baru ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa mula berkenalan dengan suspek sekitar Januari lalu sebelum ditawarkan peluang melabur dalam skim pelaburan saham dan IPO yang didakwa mampu memberikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.
“Mangsa yang yakin dengan tawaran itu kemudian membuat pemindahan wang secara berperingkat sebanyak 27 transaksi ke dalam sembilan akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek.
“Keseluruhan jumlah wang yang dipindahkan adalah sebanyak RM9,082,000, namun mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM1,000 daripada pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan wang pelaburan serta keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi TBGIA walaupun berulang kali membuat permohonan pengeluaran.
Menurutnya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pelaburan yang dipromosikan melalui media sosial serta membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa berkaitan.
Antaranya beliau berkata, termasuk Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, selain menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan kewangan.






