CHELSEA berjaya menewaskan Fulham 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan pertarungan itu dibayangi kontroversi keputusan pengadil.
Kontroversi dalam perlawanan di Stamford Bridge yang menyaksikan Chelsea memperolehi gol melalui Joao Pedro dan Enzo Fernandes tercetus apabila pengadil Robert Jones membatalkan jaringan pemain tengah Fulham, Josh King pada minit ke-21.
Tindakan penyerang Rodrigo Muniz yang didakwa memijak Trevoh Chalobah dalam gerakan awal jaringan itu disahkan kekasaran video bantuan pengadil (VAR), Michael Salisbury, sebelum Jones meneliti di monitor tepi padang dan mengekalkan keputusan.
Bagaimanapun, ulang tayang memperlihatkan sentuhan yang sangat minimum serta situasi Muniz yang kelihatan sekadar bergerak secara semula jadi membelakangi gawang.
Namun bagi Chelsea apa yang berlaku tidak menganggu kegembiraan mereka meraih kemenangan melalui jaringan Pedro yang baru dibeli dari Brighton pada separuh masa pertama dan Fernandes melalui sepakan penalti pada separuh masa kedua.

Pemberian sepakan penalt itu sekali lagi mengundang rasa tidak puas hati pengendali Fulham, Marco Silva yang berang dengan Jones kerana membuat dua keputusan yang berpihak kepada Chelsea.
Biarpun kehilangan penyerang muda Liam Delap akibat kecederaan hamstring seawal babak pertama, skuad kendalian Enzo Maresca tetap menutup aksi penuh dramatik itu dengan kemenangan bergaya menjelang rehat antarabangsa.



