SEORANG lelaki yang dihanyutkan arus deras ketika mandi-manda bersama sekumpulan rakan di sungai berhampiran sebuah rumah penginapan di Kampung Tambatuon, di Kota Belud petang semalam, ditemukan lemas pagi tadi.
Mayat Abner Lasmel, 24, dari Kiulu, Tuaran ditemukan oleh orang awam kira-kira jam 7 pagi pada jarak 1.2 kilometer dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk kampung mengenai penemuan mayat mangsa sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi.
“Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak petang semalam selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.15 petang berhubung kejadian. Jam 7 pagi ini, kita terima maklumat mangsa telah ditemukan,” katanya ketika dihubungi media.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya jam 10.20 pagi.






