KERAJAAN Persekutuan hari ini memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah.
Ketika mengumumkan pendirian kerajaan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata susulan keputusan dibuat Kerajaan Persekutuan akan segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah.
AGC dalam kenyataan turut memaklumkan keputusan berkenaan dibuat melalui Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang diadakan hari ini bagi membincangkan berkenaan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu.
“Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil,” kata kenyataan berkenaan.
Pada masa sama, kata kenyataaan itu Kerajaan Persekutuan, selepas menerima nasihat Peguam Negara, akan membuat rayuan terhadap kecacatan dalam alasan penghakiman bagi kes berkenaan.
Menurut kenyataan itu, Peguam Negara turut memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman berkenaan.
“Antaranya dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan. Dakwaan ini bakal membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sejak 1974.
“Selain itu, alasan penghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran.
“Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman berkenaan,” kata kenyataan itu.


