Di Indonesia pekerja gig merintih, di Malaysia pekerja gig dibela

PADA Khamis lalu di Indonesia, seorang penunggang ojek Affan Kurniawan terbunuh selepas dilanggar kereta perisai milik Briged Mobil Polis Republik Indonesia (Briged Mobil Polri) ketika berlaku ketegangan dalam demonstrasi oleh mahasiswa di  Jakarta.

Berikutan kejadian itu ia mencetuskan kemarahan rakyat Indonesia, apatah lagi video Allahyarham Affan digilis tular di seluruh negara berkenaan. Kira-kira 7,000 penunggang ojek mengiringi jenazah Allahyarham ke tanah perkuburan pada Jumaat.

 Kematian pekerja gig itu berlanjutan di Jakarta. Sehingga hari ini, kemarahan itu belum reda.

Tetapi di Malaysia pada hari yang sama (Khamis), Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang disifatkan oleh Perdana Menteri Datu Seri Anwar Ibrahim sebagai hadiah kepada golongan muda serta seluruh rakyat Malaysia yang terlibat dalam sektor berkenaan.

Beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata RUU berkenaan memberi takrifan yang lebih jelas kepada profesion industri gig, termasuk pengiktirafan, jaringan sosial yang kukuh serta masa depan yang jelas.

Anwar berkata walaupun terdapat pihak yang curiga dan mendakwa kerajaan lambat dalam hal berkaitan penggubalan itu, namun hakikatnya ia dilaksanakan dengan cermat dan berhati-hati, kerana RUU tersebut mengesankan hidup jutaan rakyat.

“Justeru, bersempena bulan kemerdekaan ini, saya tegaskan bahawa setiap keringat dan usaha pekerja gig adalah bermaruah, dan kalian punyai sumbangan yang besar kepada pengukuhan ekonomi rakyat dan negara,” kata beliau.

Menerusi rakaman video yang disertakan dalam hantaran sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata RUU itu, merupakan kemenangan bagi pekerja gig, sesuai dengan semangat kemerdekaan iaitu membebaskan mereka dari tekanan dan mendengar serta menyantuni tuntutan seperti dijanjikan walaupun mengambil masa kerana proses perundangan begitu rumit.

“Ada juga bangkangan tetapi saya bersyukur kerana soal nasib pekerja gig, e-hailing, penghantar makanan, platform digital itu bukan sahaja dapat ditangani tetapi disantuni dan beberapa perkara dibangkitkan cuba diselesaikan.

“Sebahagian pihak memutarbelit dan membangkitkan seolah-olah ini tidak menguntungkan tetapi percayalah, (melalui RUU Pekerja Gig 2025) dengan keselamatan sosial, cuti, caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan perlindungan insurans, ini belum pernah difikirkan oleh mereka yang curiga dan menentang.

“(RUU Pekerja Gig 2025 adalah) jaminan kestabilan pendapatan, maruah dan pengiktirafan dan akhirnya jaminan keselesaan saudara-saudara yang terlibat dalam pekerjaan ini dan keluarga,” kata beliau.

Kesimpulannya, ketika di Jakarta pekerja gig merintih menuntut keadilan berikutan tragedi ke atas rakan seperjuangan mereka yang menyayat hati,  di Malaysia nasib pekerja tersebut mendapat pembelaan melalui RUU Pekerja Gig yang diluluskan oleh Dewan Rakyat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img