TURKIYE sahkan kesemua 20 orang yang berada dalam pesawat kargo tentera yang terhempas di Georgia dalam penerbangan pulang dari Azerbaijan terkorban.
Menurut Kementerian Pertahanan, pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Ganja di barat Azerbaijan pada petang Selasa, namun terhempas sejurus selepas melintasi sempadan ke timur Georgia.

“Seramai 20 orang berada di dalam pesawat, termasuk kru penerbangan,” kata kenyataan kementerian itu.
Menteri Pertahanan Turkiye Yaşar Guler, dalam satu kenyataan di akaun X (Twitter) rasminya berkata:
“Rakan seperjuangan kita yang gagah telah gugur syahid pada 11 November 2025 akibat nahas pesawat kargo tentera C-130 yang berlepas dari Azerbaijan untuk pulang ke Turkiye.”
Beliau turut memuat naik 20 gambar anggota yang terkorban bersama kenyataan tersebut.

Turkiye belum mendedahkan punca kemalangan itu, namun rakaman dramatik yang disiarkan oleh media Azerbaijan menunjukkan pesawat berputar secara mendatar di udara bersama serpihan yang berterbangan sebelum terhempas.
Kementerian Dalam Negeri Georgia mengesahkan pesawat itu jatuh di kawasan Sighnaghi, “kira-kira lima kilometer dari sempadan negara dengan Azerbaijan.”
Kawalan trafik udara Georgia pula memaklumkan bahawa pesawat itu hilang dari radar sejurus memasuki ruang udara negara itu “tanpa menghantar isyarat kecemasan”, dan pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh perkhidmatan kecemasan.
Pesawat kargo tentera C-130 Hercules itu merupakan keluaran syarikat Amerika Syarikat, Lockheed Martin.



