Dr.Mohammed Azman sifatkan anugerah Tokoh Keselamatan dan Kesihatan Pekerja penghormatan buat warga PERKESO

KETUA Pegawai Eksekutif, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed yang diiktiraf sebagai Tokoh Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (KPP) 2025 semalam menyifatkan anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan peribadi, tetapi penghormatan buat seluruh warga PERKESO.

Katanya, mereka terus berkhidmat demi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja di seluruh negara.

“Anugerah ini bukan milik peribadi, tetapi cerminan pengiktirafan buat keluarga besar PERKESO yang tanpa lelah merintis pembaharuan dan peningkatan kualiti perkhidmatan.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kecemerlangan berterusan buat kita semua, insya-Allah. Bersama kita teruskan langkah demi lindung pekerja, lindung masa depan,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, semalam.

Beliau menerima anugerah itu sempena Majlis Penyampaian Anugerah Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) ke-43 di Putrajaya.

Anugerah itu disampaikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagi mengiktiraf organisasi dan individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di negara ini.

Pengiktirafan itu diberikan atas komitmen Dr Mohammed Azman yang sentiasa menegaskan peranan PERKESO bukan semata-mata menyalurkan pampasan kepada pencarum saja tetapi organisasi yang menjaga kebajikan dan keselamatan sosial.

Seorang lagi tokoh yang menerima anugerah sama ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengulas lanjut, katanya Dr Mohammed Azman berkata, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip mengutamakan keselamatan sosial bukan hanya memberikan pampasan kepada pencarum.

“Kalau sekadar nak beri pampasan faedah dan terus cuci tangan, bagi saya, kita akan dilihat sebagai agensi keselamatan sosial yang tidak bertanggungjawab…

“Atas dasar itu, sejak mengambil alih kepemimpinan PERKESO pada 2015, saya memberi penekanan khusus kepada soal pencegahan yang kemudian berteraskan prinsip ‘Vision Zero’ pada 2017 untuk membendung risiko kemalangan,” katanya.

Beliau menjelaskan menerusi saringan kesihatan pula, intervensi dapat dibuat lebih awal, sekali gus menangani penyakit daripada terus melarat.

“Begitu juga rehabilitasi melalui penubuhan pusat pertama di Melaka dan kini melebarkan sayap ke Meru, Ipoh, sementara satu lagi pusat di Setiu, Terengganu serta Pulau Pinang dalam perancangan.

“Rangkaian usaha ini demi memastikan PERKESO bukan sekadar agensi memberi pampasan faedah, tetapi mencakupi perihal pencegahan dan rehabilitasi yang menjadi dua aspek lebih utama.

“Alhamdulillah, berbekalkan siri penambahbaikan ini yang turut disokong sekalian jentera PERKESO demi menjamin kelancaran pelaksanaan, hari ini saya menerima anugerah Tokoh Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) MSOSH 2025,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img