Waspada sindiket menyamar pegawai imigresen

JABATAN Imigresen (JIM) mengesan wujud sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai jabatan itu untuk memperdaya majikan kononnya mereka boleh membebaskan pekerja asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan.

Modus operandi sindiket itu adalah menggunakan nombor telefon pakai buang atau ‘dummy’ dan menggunakan aplikasi WhatsApp yang memaparkan gambar profil pegawai imigresen atau logo rasmi JIM.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata,  sindiket itu akan menghubungi majikan untuk memperdaya mereka agar percaya bahawa kononnya mereka boleh membebaskan pekerja asing yang sedang ditahan oleh pihak JIM,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurut beliau, JIM sentiasa memantau sebarang cubaan pihak tidak bertanggungjawab menyamar sebagai pegawai jabatan itu.

Tegasnya, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi memastikan sebarang unsur penipuan atau penyalahgunaan identiti pegawai JIM dapat dielakkan.

Selain itu kata Zakaria, JIM akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjejak individu yang terlibat serta memastikan tindakan tegas dapat diambil mengikut undang-undang.

“Untuk rekod, beberapa laporan polis telah dibuat berkenaan perkara ini,” ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, JIM telah mengesan taktik sindiket penipuan tersebut yang berperanan sebagai ‘orang tengah’ untuk mengambil kesempatan setiap kali operasi dijalankan oleh jabatan itu.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin dipetik sebagai berkata, sindiket terbabit akan meminta bayaran melalui aplikasi Touch ‘n Go atau secara tunai, kononnya bagi tujuan membebaskan pekerja asing yang ditahan.

Majikan dipercayai telah membuat bayaran antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap seorang pekerja tanpa pemeriksaan lanjut, namun apabila hadir ke pejabat imigresen di Shah Alam, nombor telefon yang digunakan untuk urusan tersebut sudah tidak lagi aktif.

Tambahnya, kegiatan penipuan itu dikesan aktif sejak sebulan lalu dan telah menyebabkan kerugian kira-kira RM57,000 kepada beberapa majikan yang terpedaya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img