POLIS mengesahkan mangsa kepala air di Pintasan Saloma, Sungai Klang adalah seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, identiti mangsa sudah dikenal pasti.
Katanya, berdasarkan kejadian tular, mangsa cuba keluar dari kenderaannya bagi menyelamatkan diri, namun air terlampau deras.
“Kita masih berusaha mencari mangsa yang juga penyelia tapak projek bagi penambahbaikan Sungai Klang,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Menurutnya, paras air sungai setakat ini berketinggian hampir enam meter dan operasi pencarian akan diteruskan bermula dari lokasi insiden terbabit.
Media melaporkan, seorang lelaki yang sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma, jam 5.40 petang semalam.
Sazalee dilaporkan berkata, ketika kejadian, terdapat 13 pekerja sedang bertugas di lokasi berkenaan yang mana 12 daripada mereka berjaya diselamatkan.
Mereka terdiri daripada tujuh warga Indonesia, Bangladesh (empat) dan seorang warga tempatan.


