Dua individu belasah beruk akhirnya didakwa hari ini

DUA lelaki yang mempunyai ikatan saudara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bachok, Kelantan hari ini atas pertuduhan menganiaya seekor beruk jantan yang tular dalam laman sosial.

Muhamad Amirul Afiq Sanusi, 24, dan Muhammad Khairul Aziman Shamsudin, 28, memohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amin Rashidi Ramli.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhamad Amirul Afiq didakwa sengaja mendatangkan penganiayaan kepada seekor beruk jantan warna coklat dengan cara memukul dan menakut-nakutkannya di tepi sebuah rumah kosong di Kampung Jembal, Jalan Tawang, Bachok pada jam 6.30 petang pada 1 November lalu.

Sementara Muhammad Khairul Aziman yang merupakan dua sepupu kepada Muhamad Amirul didakwa atas pertuduhan bersubahat atas perbuatan yang sama pada tarikh, masa dan lokasi sama dalam pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dihukum penjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, lapor Sinar Harian.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Muhammad Aiman Syahmi Yazid dan menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh.

Kedua tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Habil Zainal Abidin bagaimanapun dalam rayuan memohon dikurangkan jaminan dengan alasan kewangan dan kesalahan adalah kali pertama.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Disember ini sebagai sebutan semula kes.

Sebelum ini tular dalam media sosial video berdurasi satu minit 45 saat memaparkan seorang lelaki bertindak menampar, memukul dan menyeret seekor beruk tanpa belas ihsan sehingga menimbulkan reaksi negatif dan kecaman masyarakat.

Susulan itu, laporan polis dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 kerana penderaan terhadap haiwan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyebaran kandungan jelik melalui media sosial.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img