SEORANG anggota polis ditahan kerana dipercayai menjadi dalang kepada lima kes samun termasuk di kedai butik terpakai di sekitar Kota Bharu, Kelantan.
Suspek yang berusia 43 tahun dan sedang digantung kerja kerana kesalahan narkotik sebelum ini ditahan di sebuah rumah di Pengkalan Chepa jam 7 petang semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan dilakukan susulan pihaknya menerima laporan kejadian terbaharu membabitkan sebuah kedai butik terpakai di Kota Bharu pada 10 November lalu.
Katanya, susulan tangkapan itu pihaknya merampas pelbagai barangan termasuk pistol tiruan yang digunakan suspek ketika melakukan kegiatan samun selain pil yaba, topi keledar dan jam tangan.
“Pemeriksaan mendapati suspek menjadi dalang kepada lima kes samun sepanjang tahun ini dan suspek adalah anggota polis unit kereta peronda polis (MPV) yang sedang digantung tugas akibat kesalahan narkotik.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek adalah positif dadah. Modus operandi yang digunakan suspek adalah melakukan samun membabitkan premis perniagaan dengan menunjukkan pistol tiruan bagi menakutkan mangsa,” katanya pada sidang media di Kota Bharu hari ini, lapor Berita Harian.
Mohd Yusoff berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun), Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.


