SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan rasuah melibatkan dakwaan tidak melaporkan satu kes khalwat kepada pihak berkuasa agama.
Tertuduh, Che Mohamad Aswanee Che Ali, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan pertama, anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, Selangor itu didakwa memperoleh suapan RM500 daripada seorang lelaki melalui akaun banknya sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kes khalwat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Pandan Indah pada 28 Disember 2021 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menerima RM500 lagi daripada individu sama melalui pindahan atas talian, sedangkan dia mengetahui lelaki itu mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.
Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal, memaklumkan kepada mahkamah bahawa kesalahan tersebut tidak boleh dijamin, sambil mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Beliau turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam bela Datuk Mohd Taqiyuddin Yahya memohon jaminan RM2,000 atas alasan tertuduh bekerja sebagai anggota polis, jumlah suapan yang kecil, serta penjamin hadir di mahkamah.
Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta dua syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan serahan dokumen pada 9 Januari depan.


