
BARU-baru ini timbul isu perebutan antara Malaysia dan Indonesia yang masing-masing mahu menjadikan raja buah itu sebagai ‘buah nasional’ serta hak asal pemilikannya.
Cadangan Persatuan Pengilang Durian Malaysia (DMA) agar durian diangkat sebagai buah kebangsaan Malaysia mencetuskan perdebatan baharu di rantau ini apabila Indonesia tampil mempertahankan bahawa republik itu mempunyai asas lebih kukuh untuk gelaran berkenaan.
Menteri Koordinator Bidang Pangan Indonesia, Zulkifli Hasan mengatakan bahawa Indonesia mempunyai kapasiti pengeluaran lebih besar dari Malaysia iaitu 2 juta tan pada tahun 2024 serta mempunyai 21 daripada 27 spesis durian dari Jawa, Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi. Namun beliau mengakui kelebihan Malaysia dari segi pasaran eksport berbanding Indonesia.
Bagi saya yang turut berkecimpung dengan aktiviti perniagaan durian sejak kecil, polemik itu tidak perlu diperbesarkan kerana Malaysia, Indonesia, Thailand dan kini Vietnam mempunyai latar belakang geografi yang sama, dengan masing-masing sudah menjadikan Raja Buah tersebut sebagai salah satu komoditi penting masing-masing.
Saya sudah menjangkakan perebutan ini akan berlaku dan langkah perdamaian dan kemakmuran bersama perlu dilakukan dengan semangat Nusantara dan ASEAN.
Maka sebab itulah saya mengambil inisiatif menganjurkan Kampung Gajah Durian Festival 2025 (KGIDF2025) yang bukan sahaja mengembalikan kegemilangan Kampung Gajah sebagai pengeluar durian bertaraf dunia tetapi juga mewujudkan kerjasama serantau seperti dengan Thailand bagi menjadikan durian sebagai komoditi bersama dalam membina blok pengeluar durian terbesar untuk pasaran antarabangsa.

Memang tidak dinafikan bahawa terdapat tanda-tanda sejarah kewujudan durian beratus tahun dahulu seperti gambar ukiran di Candi Borobodur (775-780 masihi), Kitab Ramayana (827 masihi) serta catatan pengembara barat yang menyatakan kewujudan durian di Nusantara seperti Indonesia, Malaysia dan Thailand.
Namun, hari ini polemik sejarah dan potensi pasaran durian itu perlu dikongsikan sebagai peluang untuk meningkatkan keupayaan melebarkan pasaran dan pembangunan produk yang dapat meningkatkan nilai ekonomi kepada semua negara.
KGIDF 2025 telah membuka ruang lebih besar kepada Malaysia dan Thailand untuk bekerjasama melalui cetusan idea penjenamaan bersama iaitu Durian ASEAN.
Perkara ini dilontarkan ketika perbincangan antara Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Institut Agro dan Keusahawanan (IGROW) dengan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBPAC) yang dipengerusikan oleh Gabenor Pattani, Fatimah Sadiyamu pada September lalu di Pattani, Thailand.
Lawatan delegasi pegawai tinggi SBPAC dan media Thailand ke Kampung Gajah membolehkan mereka menyelami pengalaman melihat industri durian di Malaysia terutama di Kampung Gajah yang boleh dijadikan rakan strategik membentuk gagasan ‘Durian Asean’.
Malah kerjasama ini turut mengembangkan kepada pelbagai kerjasama lain seperti pelancongan kedua-dua negara, pendidikan, pasaran produk halal wilayah sempadan dan kerjasama pengalaman membasmi kemiskinan di Malaysia.
Dalam masa terdekat ini, kami bersetuju untuk mengadakan kursus pengurusan tanaman durian dengan perkongsian kepakaran antara dua negara yang akan diadakan di Kampung Gajah, Perak.
Saya melihat polemik perebutan durian ini perlu dileraikan dengan mengajak semua negara ASEAN bekerjasama untuk menjadi pengeluar durian terbesar dunia yang akan meningkatkan keuntungan setiap negara daripada mencetuskan perselisihan yang merugikan.
Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam adalah negara serumpun, rakan Nusantara, sahabat ASEAN yang perselisihannya ibarat krisis adik-beradik yang boleh disatukan semula.
Alhamdulillah, KGIDF2025 yang diadakan pada Oktober hingga November lalu telah dianjurkan tepat pada masanya walaupun ada pihak termasuk sesetengah jabatan kerajaan yang berkaitan tidak menyokong dengan baik penganjurannya.
Ia disebabkan sikap gagal melihat industri durian dalam perspektif lebih besar serta prejudis dengan keupayaan anak tempatan untuk menganjurkan festival durian bertaraf antarabangsa. Namun kami sudah jauh berfikir dan bertindak ke hadapan dengan hidayah Allah.
Apa pun surat penghargaan Thailand dan komitmen mereka untuk bekerjasama terutama dalam industri durian telah membuktikan kejayaan kami menjalankan diplomasi membawa persaudaraan dalam industri durian untuk membentuk Durian ASEAN. Sesuai dengan tema KGIDF 2025 iaitu “Durian Menyatukan Kita”.
*Penulis adalah usahawan dan penganalisis sosioekonomi.



