BEKAS Timbalan menteri undang-undang, Hanipa Maidin, berkata ada nasihat yang jelas jika beliau merupakan peguam yang mewakili Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang kini berdepan dengan isu keabsahan pemain warisan.
Bagi Hanipa, mesej yang perlu disampaikan kepada badan induk bola sepak negara itu ialah: jangan bazirkan masa dan wang untuk mencabar keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Hanipa berkata, beliau meneliti keseluruhan penghakiman bertulis yang dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA merupakan satu dokumen terperinci setebal 64 halaman dan 304 perenggan, lapor Malaysiakini.
Katanya jawatankuasa itu jelas menghuraikan beberapa prinsip undang-undang yang sudah mantap dan mengaplikasikannya dengan betul pada fakta kes.
Cara penulisannya pula, kata Hanipa, seperti penghakiman penuh mahkamah dengan kandungannya dijelaskan dengan baik dan dilihat sangat kukuh.
“Juga adalah jelas bahawa keputusan tersebut juga mendedahkan pelbagai fakta yang mengelirukan. Pada saya dakwaan pemalsuan dokumen itu seperti perbuatan yang disengajakan – walaupun saya berharap saya salah.
“Kalau saya peguam yang mewakili FAM, saya dengan ikhlas, jujur dan terus terang akan menasihatkan mereka supaya jangan buang masa – apatah lagi wang. Nasihat ikhlas saya, FAM patut berani mengaku silap dan melakukan kesalahan besar serta memalukan ini, kemudian bersikap jujur kepada rakyat,” katanya.
Keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang dikeluarkan pada 17 November lalu mengarahkan siasatan penuh terhadap operasi dalaman FAM susulan hukuman ke atas persatuan itu dan tujuh pemain warisan kelahiran luar negara berhubung pemalsuan dokumen.
Jawatankuasa itu juga mengarahkan Jawatankuasa Tatatertib Fifa memaklumkan pihak berkuasa di Malaysia, Brazil, Argentina, Belanda dan Sepanyol mengenai kesalahan yang dilakukan.
Hasil siasatan itu mendedahkan wujud satu skim yang disengajakan dan diselaras, termasuk mengubah sijil kelahiran datuk dan nenek pemain, yang kemudian diserahkan FAM kepada FIFA sebagai dokumen tulen.
Jawatankuasa itu turut mengkritik langkah FAM menggantung Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman, dengan menyatakan bahawa terma dan skop hukuman itu tidak dijelaskan dengan baik dan tidak benar-benar dipatuhi.
Hanipa menegaskan episod itu mencemar nama negara di mata dunia, dan ia boleh diibaratkan seperti skandal 1MDB.
“Kekurangan integriti kekal sebagai penyakit kronik kita. Dalam kes Hoodless & Blackwell lawan FSA (2003) antaranya diputuskan bahawa: ‘Pada pandangan kami, integriti’ membawa makna keteguhan moral, kejujuran, dan pematuhan konsisten kepada kod etika. Seseorang tidak berintegriti jika dia tidak mampu membezakan antara apa yang jujur atau tidak jujur mengikut piawaian biasa’,” katanya.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa tidak akan ada sebarang perlindungan dalam skandal FAM, manakala Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengesahkan tiada geran tambahan akan diberikan kepada FAM sehingga isu berkenaan diselesaikan sepenuhnya.



