SEORANG lelaki maut selepas dipercayai dipukul dan ditikam dalam satu pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Seremban, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah.
“Polis percaya pergaduhan itu melibatkan 10 hingga 12 lelaki dan seorang daripada mereka bertindak menikam mangsa,” katanya kepada Bernama malam tadi.
Azahar berkata pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian, bagi mengenal pasti identiti suspek dan punca kejadian itu.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Azahar berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Terdahulu, tular dalam media sosial video rakaman CCTV berdurasi satu minit 26 saat di premis berkenaan memaparkan mangsa cuba melarikan diri selepas dikejar sekumpulan lelaki, sebelum dipukul termasuk menggunakan kerusi dan kotak.



