Polis akan bertegas demi keselamatan mangsa banjir

POLIS Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana mangsa banjir yang enggan berpindah meskipun kediaman mereka sudah dinaiki air sehingga boleh menjejaskan keselamatan.

Tindakan tegas itu penting bagi mengelak kejadian yang tidak diingini, termasuk risiko mangsa terperangkap ketika paras air meningkat secara mendadak.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sekiranya ada mangsa yang enggan berpindah, polis akan mengarahkan mereka keluar dan tidak kekal berada di rumah atas alasan bimbang kecurian.

“Polis akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan yang ditinggalkan bagi memastikan tiada mangsa masih berada di rumah serta mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut beliau, tindakan menangguhkan pemindahan hanya akan menyukarkan operasi menyelamat, terutama pada waktu malam dan ketika paras air meningkat dengan cepat.

Tambahnya lagi, situasi banjir di Kelantan ketika ini masih terkawal dengan pemindahan melibatkan penduduk di kawasan rendah yang terjejas akibat hujan lebat termasuk di Bachok, Tumpat, Pasir Puteh dan Kota Bharu.

“Sehingga kini seramai 9,772 mangsa daripada 3,585 keluarga ditempatkan di 40 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mereka yang berpindah ke PPS supaya membawa barangan berharga dan dokumen penting bagi mengelakkan kerugian.

“Setakat ini tiada kes kecurian dilaporkan di rumah yang ditinggalkan mangsa. Kebiasaannya laporan dibuat selepas banjir surut membabitkan kemusnahan harta benda,” katanya.

Selain itu katanya polis juga mempertingkatkan pemantauan di kawasan sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan ketika musim banjir.

“Sekiranya air semakin besar, ada kemungkinan penyeludup mengambil kesempatan menggunakan bot atau perahu ke kawasan tertentu. Polis akan menyesuaikan strategi operasi bagi mencegah perkara itu,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img