Tiga suspek pukul wartawan sukan diburu polis

POLIS sedang memburu tiga lelaki yang dipercayai terlibat memukul wartawan sukan, Haresh Deol, dalam kejadian berhampiran Bangsar Village di ibu negara, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4 petang.

Menurut beliau, kejadian berlaku ketika mangsa sedang berjalan di kaki lima menghala ke Jalan Telawi sebelum didatangi suspek.

“Insiden berkenaan melibatkan tiga suspek iaitu dua lelaki berketurunan India dan seorang lagi lelaki yang identitinya belum dikenal pasti.

“Akibat kejadian ini, mangsa mengalami kecederaan iaitu luka pada bahagian muka, tangan dan badan kerana terjatuh semasa cuba menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata, tindakan mengesan dan menahan kesemua suspek sedang dijalankan.

Katanya, pegawai penyiasat akan memohon Perintah Untuk Menyiasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya esok bagi mendapatkan kebenaran untuk menjalankan siasatan lanjut.

Tambahnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian yang berlaku boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden Mohd Adnan Alias di talian 019-216 2272.

Sementara itu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) dalam satu hantaran di Facebook mengecam serangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tindakan yang mengancam keselamatan wartawan ketika menjalankan tugas.

Menurut Geramm, sebarang serangan terhadap petugas media boleh menjejaskan hak orang ramai untuk menerima maklumat tepat tanpa tekanan.

Haresh merupakan wartawan sukan dan Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) sebelum ini mendakwa dia diserang oleh dua individu di Bangsar.

Beliau yang juga pengasas bersama portal berita TwentyTwo13 memaklumkan melalui hantaran di laman X telah diserang ketika menuju ke keretanya manakala seorang lagi individu merakam insiden tersebut menggunakan telefon bimbit.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img