Ilmu politik dari Indonesia untuk ahli politik Malaysia

SUARA AWANG SELAMAT

AWANG mengikuti dengan teliti perkembangan di Indonesia yang menyaksikan ribuan rakyat turun ke jalanan membantah keputusan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) khususnya berkaitan  kenaikan elaun kepada anggota dewan berkenaan.

Ketika rakyat merintih mengenai kenaikan kos sara hidup, DPR begitu tergamak mengumumkan kenaikan elaun anggota dewan itu. Bantahan rakyat melalui media sosial tidak dilayan, demonstrasi secara kecil-kecilan dengan tujuan menyampaikan memorandum secara aman tidak diendahkan.

Sebaliknya sikap segelintir anggota DPR yang menari di dalam Parlimen, mempamerkan kemewahan hidup dan memperlekehkan tuntutan rakyat bagaikan mencurah minyak ke dalam api.

Mereka lupa bahawa rakyat bukanlah lawan politik yang boleh diperlekehkan kehendaknya, mereka sengaja melupakan rakyat bukannya boleh diperbodohkan dengan janji kosong tetapi rakyat mempunyai kekuatan luar biasa untuk membenamkan keangkuhan dan keceluparan ahli politik dalam sekelip mata.

Itulahlah berlaku di Indonesia, apabila ribuan rakyat turun ke jalanan menuntut hak mereka. Rumah-rumah anggota DPR yang nama mereka sudah ada dalam senarai ‘untuk diberikan sedikit pengajaran’ menjadi sasaran.

Kesudahannya damai Indonesia tergugat, hiruk-pikuk kota Jakarta dan beberapa bandar lain yang sebelum  ini berpunca daripada bunyi kenderaan, diganti dengan bunyi siren pasukan keselamatan dan jeritan rakyat menuntut DPR dibubarkan, rumah sang politikus bermulut celupar dihancurkan.

Suasana di Indonesia terus mencengkam sehingga ada yang membayangkan bahawa rusuhan 1998 akan berulang. Kebetulan pada tahun berkenaan Prabowo Subiato yang kini menjadi Presiden Indonesia adalah Panglima Komando Strategis Angkatan Darat (KOSTRAD) dan menantu kepada Presiden Suharto.

Sebagai seorang  strategis Prabowo tahu api kemarahan rakyat harus dipadamkan, keterlanjuran anggota DPR perlu diperbetulkan, maka beliau membatalkan lawatan rasmi ke China.

Prabowo memanggil semua pihak yang berkepentingan bermula daripada kelompok ulama hinggalah kepada sang politikus, semua dijemput secara berasingan ke Istana Merdeka.

Penyelesaian dicapai alim ulama akan menjadi penenang rakyat, ketua parti akan bertindak ke atas  anggota DPR terlajak sikap manakala pasukan keselamatan diarah mengembalikan keamanan.

Hasilnya rakyat akur nasihat ulama, ketua parti menggantung anggota DPR celupar, DPR batalkan kenaikan elaun manakala polis dan tentera berjaya memulihkan keadaan.

Tak terkecuali, beberapa anggota DPR secara terbuka memohon maaf atas keterlanjuran sikap mereka manakala kepemimpinan DPR menyatakan akan lebih berhati-hati dalam tindakan.

Awang berharap apa yang berlaku di Indonesia akan dijadikan pengajaran serta ilmu politik kepada pemimpin dan ahli politik Malaysia, terutamanya fikiran strategis Prabowo, bersedia meminta maaf  dan memahami rakyat cukup bijak menilai ahli politik.

Awang – Tak pandai sandiwara 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img