DAERAH Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan antara kawasan yang terjejas akibat Ribut Tropika Senyar, yang dikesan memasuki perairan Selat Melaka sejak 3.30 petang semalam, menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora.
Berikutan kejadian ribut awal pagi tadi, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri melaporkan berlakunya insiden tanah runtuh dan beberapa kejadian pokok tumbang di dua kawasan berkenaan.
Menurut laporan itu, satu kejadian tanah runtuh berlaku sekitar 3.55 pagi di kawasan perumahan di Jalan Bukit Berlian 2, Taman Bukit Berlian di Seremban.
“Enam penduduk dipindahkan daripada kediaman masing-masing dan kerja-kerja pemantauan masih dijalankan,” menurut kenyataan JBPM hari ini, lapor Bernama.
Dalam kejadian 3.10 pagi pula, kata kenyataan itu, seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun dilaporkan cedera selepas melanggar pokok tumbang berhampiran AEON Seremban 2, dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan.
Selain itu, sebuah kereta Proton Saga dihempap pokok tumbang di kawasan Hotel Ehsan Sea View, Port Dickson namun tiada mangsa terlibat.


