PRN Sabah: BN sedia kerjasama bentuk kerajaan

BARISAN Nasional (BN) sedia bekerjasama dengan parti sehaluan demi membentuk kerajaan Sabah.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada calon-calon BN.

Beliau berkata, pihaknya menghormati dan menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang menyaksikan seramai 596 calon telah bertanding sebagai suatu manifestasi kesuburan demokrasi di negeri itu.

“Keputusan ini membuktikan bahawa BN masih mempunyai asas sokongan yang teguh dan terus menjadi salah satu blok politik penting dalam landskap politik Sabah.

“Sebagai sebuah parti yang sentiasa memberikan keutamaan kepada soal kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, BN bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti yang sehaluan bagi membentuk sebuah kerajaan baharu untuk kestabilan politik negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menyeru seluruh rakyat Sabah untuk mengekalkan keamanan, perpaduan dan rasa hormat terhadap proses demokrasi yang sedang berlangsung.

Menurutnya, perjalanan Sabah ke hadapan memerlukan iltizam semua pihak dan BN akan terus memainkan peranan yang konstruktif bagi memastikan negeri Sabah terus melangkah ke arah kemajuan serta kemakmuran.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img