SEORANG lelaki ditahan polis selepas aksi bahayanya memandu secara melawan arus sejauh 150 kilometer (KM) dari Tol Bukit Beruntung ke Tol Sungai Buloh, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, dalam kejadian jam 5.35 pagi itu, lelaki yang memandu lori Mitsubishi Fuso itu enggan berhenti ketika cuba diminta memberhentikan kenderaan bagi tujuan pemeriksaan.
Beliau berkata, suspek kemudian memandu keluar ke arah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melalui Tol Bukit Beruntung dan kenderaan dipandu melawan arus sehingga Tol Sungai Buloh dan berpatah balik ke lokasi sama sejauh 150km.
“Pemandu lori itu juga memandu secara berbahaya serta cuba melanggar kenderaan peronda polis ketika cuba memberhentikannya di kawasan berhampiran Tol Bukit Beruntung.
“Polis kemudian menahan suspek di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung dan merampas lori terbabit,” katanya lapor Harian Metro Online.
Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau dadah dan satu jenayah, selain ujian air kencing positif syabu.
“Dia akan dibawa ke Mahkamah Kuala Kubu Bharu pada jam 9 pagi esok untuk permohonan reman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kajun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.


