KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan sejumlah empat juta pengunjung akan menghadiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September tahun depan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sasaran itu dijangka akan dapat dicapai kerana berdasarkan program MAHA 2024 tahun lalu, sebanyak 5.5 juta pengunjung menghadiri pameran tersebut.
Katanya, bersempena dengan sambutan cuti Hari Kebangsaan 2026 pada 31 Ogos, kementerian berharap orang ramai akan mengambil peluang mengunjungi pameran itu.

“Mengimbau kejayaan MAHA 2024, kehadiran pengunjung adalah sebanyak 5.5 juta, jauh melepasi sasaran awal sebanyak tiga juta orang dan untuk MAHA 2026 kementerian menyasarkan kehadiran empat juga namun kita berharap jumlah itu akan lebih tinggi.
“Penganjuran MAHA 2026 dan program-program Road to MAHA 2026 akan menekankan nilai Malaysia Madani iaitu bukan sekadar mempamerkan kehebatan teknologi dan kemampuan sektor agromakanan negara, tetapi turut mengiktiraf komitmen, ketabahan dan usaha gigih petani, nelayan dan penternak,” katanya ketika berucap pada Prapelancaran MAHA 2026 di MAEPS Serdang, Selangor hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Isham Ishak.
MAHA 2026 mengangkat tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’ yang menampilkan visi Malaysia membangunkan ekosistem agromakanan yang berdaya tahan, berasaskan teknologi dan berimpak tinggi.
Menurut Mohamad, selain menyasarkan kehadiran empat juta pengunjung, MAHA 2026 turut menyasarkan penyertaan 2,000 pempamer, nilai jualan sebanyak RM58 juta, memeterai memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM8 bilion serta penglibatan 800,000 belia dalam pelbagai program dan aktiviti.
“Antara pengisian utama pada edisi MAHA 2026 kali ini adalah Pavilion Negeri, pameran teknologi pertanian tempatan dan antarabangsa, persembahan laser dan air, agro safari dan pelbagai segmen lain yang berimpak tinggi.
“Keseluruhan pengalaman ini bukan sahaja memberi pengetahuan dan pendedahan baharu kepada pengunjung namun turut menyemarakkan minat serta membina kesedaran masyarakat, khususnya golongan muda untuk menceburi bidang pertanian,” katanya.

Memetik hasil dapatan Banci Pertanian 2024, Mohamad berkata, ia menunjukkan 45 peratus penggiat sektor pertanian terdiri daripada golongan berusia 60 tahun ke atas, manakala hanya tiga peratus dalam lingkungan umur 15 hingga 30 tahun.
Beliau berkata jurang generasi itu membimbangkan dan memerlukan perhatian segera dan penumpuan khusus, sehubungan itu, penganjuran MAHA 2026 dilihat penting sebagai satu daripada usaha untuk menarik minat anak muda menceburi bidang pertanian.
“Kita mahu pada masa hadapan, Malaysia menjadi antara pengeluar utama makanan di rantau ini. Justeru, penglibatan lebih ramai generasi muda perlu digerakkan dari sekarang termasuk di MAHA 2026,” katanya.
Mohamad berkat,a pempamer luar negara turut dijemput menyertai MAHA 2026 dan mereka turut digalakkan menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan terutamanya dari segi pemindahan teknologi.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa MAHA bukan sekadar pameran, tetapi sebuah platform strategik yang berupaya menggerakkan ekosistem agromakanan negara ke tahap lebih tinggi,” jelas beliau.


