SUASANA dalaman parti Bersatu Sabah kembali tegang apabila Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Ketua Bahagian Bersatu Libaran, Yunus Nurdin, meluahkan kenyataan keras terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dikatakan menjadi punca utama kekalahan PN di negeri itu.
Pada sidang media di Kota Kinabalu, Yunus mendakwa Muhyiddin gagal membantu jentera pilihan raya PN Sabah, sehingga ramai calon terpaksa berhutang dan menggadaikan harta sendiri demi meneruskan kempen.
“Kita cuma minta untuk jentera kita saja… kos saja. Ada di kalangan calon-calon kami terpaksa bergadai kereta, rumah, dan sekarang hampir semua berhutang. Berhutang bukan untuk individu, kita berhutang sebab kita mahu perjuangkan parti ini. Tetapi apa balasan Presiden untuk kami?” soalnya.
Yunus yang juga calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum, mendakwa Muhyiddin bukan sahaja gagal memimpin jentera, tetapi turut bertanggungjawab penuh atas kekalahan PN di Sabah.
“Insan yang bertanggungjawab atas kekalahan ini… Presiden parti itu sendiri. Sebab itu kita mendesak untuk dia letak jawatan,” tegasnya.
Beliau juga menolak sebarang cadangan agar kumpulan calon yang kecewa itu keluar parti.
“Kenapa kami yang perlu keluar parti? Kami yang teraniaya. Kami yang buat parti ini dengan duit sendiri. Kenapa harus kami yang berundur? Orang yang salah yang patut berundur. Kami salahkan 100% Tan Sri Presiden, dan dia yang patut berundur. Kami tidak akan berundur,’’ katanya.
Yunus turut mendakwa, lebih 20 bahagian Bersatu Sabah bersedia melakukan tindakan besar-besaran jika kepimpinan pusat cuba mengambil tindakan disiplinkan ke atas mereka.
“Bila ada tindakan disiplin diambil, kami tidak teragak-agak untuk hancurkan Bersatu di Sabah. Kami akan meletakkan jawatan serentak dan akan lumpuhkan badan pimpinan. Kami sayangkan parti, tapi kalau kita tidak buat begini, selama-lamanya parti akan dipimpin oleh orang yang tidak betul.”
Kenyataan Yunus ini dijangka menghangatkan lagi pergolakan dalaman Bersatu Sabah pasca PRN, sekali gus menekan Muhyiddin yang kini berdepan kritikan terbuka dari pimpinan negeri sendiri.
Semalam, calon muda PN di DUN Tanjung Kapor, Mohamad Affan Jumahat, turut meluah kekecewaan kepada Muhyiddin yang didakwa lemah dan menjadi punca kekalahan terburuk PN di PRN Sabah.



