AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) akan membuka sesi lawatan khas kepada keluarga atau penjaga klien yang sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di semua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sesi lawatan itu bertujuan memperkukuh ikatan kekeluargaan selain memberi sokongan moral kepada klien yang sedang menjalani rawatan dan pemulihan.
Menurutnya, sesi lawatan tersebut juga memberi peluang kepada keluarga melihat sendiri perkembangan positif klien sepanjang mengikuti program RPDI.
“Lawatan khas ini turut memberi ruang kepada keluarga atau penjaga untuk bertemu mesra dengan klien sebagai pendekatan terapeutik dalam menyokong proses kepulihan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sesi lawatan khas berkenaan akan diadakan pada 29 Mac hingga 2 April bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Bagi negeri Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Johor, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak pula, sesi lawatan akan berlangsung 30 Mac hingga 3 April,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Ruslin berkata keluarga atau penjaga yang ingin menyertai sesi lawatan khas berkenaan diminta menghubungi Pegawai Pemulihan di PUSPEN masing-masing menerusi panggilan telefon, mesej pesanan ringkas (SMS), pesanan aplikasi WhatsApp, surat atau e-mel.


