JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial oleh warganegara asing yang masuk sebagai pelancong tetapi bekerja secara tidak sah di premis seperti restoran dan kilang.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan statistik bagi tempoh 1 Januari hingga 9 Mac lalu, seramai 9,497 warga asing ditangkap hasil daripada 2,618 operasi yang dilaksanakan di seluruh negara.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 1,158 individu ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas.
“Majoriti mereka didapati menyalahgunakan kemudahan pas yang diberikan, khususnya membabitkan Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Lawatan Sosial bagi menjalankan aktiviti yang tidak selaras dengan syarat pas yang dikeluarkan.
“Lima warganegara tertinggi yang ditahan bagi kesalahan melanggar syarat pas ialah Bangladesh (532 orang), Thailand (248 orang), Indonesia (111 orang), China (86 orang) dan Pakistan (51 orang).
“Seterusnya, daripada 1,158 tangkapan itu, 482 individu ditahan kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial, membabitkan 235 warga Thailand, 83 Bangladesh, 62 China, 62 Indonesia, 13 Pakistan dan 27 daripada negara lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebahagian daripada mereka terlibat secara aktif dalam pengurusan serta pengendalian premis perniagaan tanpa kebenaran sah.
“JIM menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dan tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen negara,” ujarnya.


