SEORANG lelaki etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi, hari ini, atas tuduhan membunuh isterinya, dua minggu lalu.
Rashidullah Mong Fumiyah, 35, faham akan pertuduhan dihadapinya itu, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar, lapor Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang wanita iaitu Fazanah Eskar, 34, di sebuah rumah di Jalan Haji Mustafa, Kampung Makam di sini, pada awal pagi, 13 Februari lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 April depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Di mahkamah sama, tertuduh yang bekerja sebagai tukang gunting rambut turut didakwa bagi satu lagi pertuduhan melakukan perbuatan yang turut menyebabkan kematian bayi cukup sifat dalam kandungan isterinya itu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menghentak wanita berkenaan pada bahagian kepala sebelah kiri menggunakan lesung batu hingga menyebabkan kematian mangsa dan dengan perbuatan itu juga menyebabkan kematian anak dalam kandungan yang cukup sifat milik mangsa.
Pendakwaan bagi perbuatan dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama itu dibuat mengikut Seksyen 316 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Tertuduh faham pertuduhan dan hukuman dihadapinya, namun ketika ditanya sama ada mengaku bersalah atau tidak, dia tidak memberikan sebarang pengakuan.
Lelaki itu sambil menangis cuma berkata, dia minta maaf dan mohon hukuman dikurangkan.
“Saya minta maaf. Saya orang Islam. Tetapi ini hukuman Malaysia. Kalau Tuhan hukum, apa-apa saya terima,” katanya yang masih tidak membuat sebarang pengakuan bersalah atau tidak, walaupun ditanya jurubahasa dan majistret beberapa kali.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Mac depan bagi kehadiran jurubahasa Myanmar supaya tertuduh lebih memahami pertuduhan sebelum membuat sebarang pengakuan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang hamil tujuh bulan ditemui maut dipercayai dibunuh suaminya dipercayai menggunakan lesung batu.
Mangsa wanita itu ditemui tidak bernyawa di dalam bilik rumah sewa mereka kira-kira jam 7 pagi, 13 Februari lalu, oleh pemilik rumah selepas dipercayai dibunuh kira-kira jam 3 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, pihaknya tidak menolak punca kejadian bermotifkan cemburu.


