SERAMAI 519 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi operasi bersepadu di 34 kilang seluruh negara sejak Rabu.
Operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan terhadap 1,702 warga asing dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta pihak berkuasa tempatan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, individu yang ditahan terdiri daripada pelbagai warganegara termasuk Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal dan China.
“Selain itu, JIM turut mengeluarkan 42 borang saman saksi kepada majikan dan pemilik premis untuk membantu siasatan,” katanya kepada pemberita selepas Op Sasar di sebuah kilang di Meru, Klang hari ini, lapor Sinar Harian.
Dalam pada itu, beliau berkata, statistik penguatkuasaan di seluruh negara sejak Januari lalu merekodkan 12,471 operasi dengan 161,748 pemeriksaan individu.
Sehingga 20 November, seramai 46,426 PATI turut ditahan menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan.
“Ini menunjukkan kami sangat serius dan mengikut perincian, lebih 37 operasi dilaksanakan setiap hari. Tiada jam tanpa operasi dan kita tidak berkompromi dengan mana-mana warga asing yang melakukan kesalahan.
“Malah, lebih 2,000 majikan juga diambil tindakan selain 52,743 warga asing sudah diusir pulang ke negara asal,” katanya.
Lokman menegaskan, fokus penguatkuasaan bukan hanya tertumpu kepada pekerja asing, malah turut merangkumi pihak yang menjadi punca atau memudahkan berlakunya pelanggaran undang-undang.
Katanya, operasi akan diteruskan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang negara mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Beliau turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI bagi mengelakkan tindakan undang-undang.



