YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah selamat menerima cucunda ketujuh selepas Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, isteri Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, selamat melahirkan seorang puteri, semalam.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar disertakan pengumuman rasmi Jumaah Majlis DiRaja Johor, puteri itu merupakan anakanda kelima kepada Tunku Mahkota Ismail.
Pengumuman diraja itu disampaikan oleh Abdul Rahim Ramli, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, dalam satu kenyataan hari ini.
“Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dan puterinya berada dalam keadaan sihat walafiat,” menurut kenyataan itu.
Jumaah Majlis DiRaja Johor turut menzahirkan doa agar Allah SWT mengurniakan kesihatan, keceriaan dan keberkatan berterusan kepada Kerabat DiRaja Johor.
Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor diijab kabul dengan Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Serene pada 24 Oktober 2014.
Pasangan diraja itu kini dikurniakan lima cahaya mata iaitu dua putera dan tiga puteri.


