Ops Lens KLCC: 4 kompaun, 6 peralatan ‘ulat foto’ disita

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan empat kompaun dan menyita enam peralatan dalam operasi ‘Op Lens’ terhadap jurufoto tanpa kebenaran di sekitar KLCC, Sabtu lalu.

Operasi bersepadu itu dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membanteras kegiatan ‘ulat foto’ yang beroperasi secara terbuka di kawasan tumpuan awam.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, tindakan kompaun dikenakan terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa lesen, manakala sitaan membabitkan pelbagai peralatan milik jurufoto, termasuk dua warga asing.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap enam individu oleh JIM dan JPN mendapati empat daripadanya diberikan surat akuan penahanan dokumen bagi tujuan siasatan lanjut berkaitan kesahihan pengenalan diri serta status kerakyatan.

“Tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 serta Akta Pendaftaran Negara 1959,” menurut kenyataan itu.

DBKL menegaskan ruang awam perlu digunakan secara beretika dan mematuhi peraturan kerana aktiviti fotografi tanpa kebenaran bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh menimbulkan risiko keselamatan.

“Kegiatan ini ada yang dijalankan di jalan raya atau laluan pejalan kaki sehingga membahayakan pengguna serta mengganggu kelancaran trafik,” katanya.

Sehubungan itu, DBKL akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan kawasan bandar kekal selamat, teratur dan harmoni.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img