Ahli Parlimen Petaling Jaya letak jawatan dalam MPP PKR

AHLI Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkuat kuasa serta-merta selepas 18 tahun bersama parti dan lapan tahun memegang jawatan di peringkat Pusat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan akan kekal sebagai ahli PKR serta terus menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen sehingga Parlimen dibubarkan.

Chean Chung berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti yang didakwanya gagal tampil membetulkan kesilapan serta memberikan penjelasan berhubung beberapa isu yang dibangkitkan.

“Antara perkara yang mengecewakan apabila akses sistem MyKhas bagi kawasan Parlimen Petaling Jaya dibatalkan pada 29 Mei lalu.

“Disebabkan pembatalan akses itu, saya tidak lagi dapat meneruskan urusan peruntukan kawasan dan Program Mesra Rakyat.

“Tuntutan saya sangat mudah. Saya berharap parti (PKR) dapat memberikan satu penjelasan yang munasabah,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Chean Chung antara Ahli Parlimen PKR yang menghadiri pelancaran Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada 17 Mei lalu, parti yang diambil alih oleh bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Bagaimanapun menurut Chean Chung, sehingga kini hanya seorang Timbalan Setiausaha Agung membuat kenyataan media menyatakan keputusan membatalkan akses itu akibat daripada pilihan politik tanpa PKR memberikan sebarang penjelasan rasmi kepadanya atau kepada pengundi.

Dalam kenyataan sama, Chean Chung mengimbau pembabitannya selama 18 tahun dalam PKR termasuk berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di pejabat Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa sama, beliau turut mengimbau kemenangannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu pada 2013, kerusi yang tidak pernah ditembusi sejak 2004 dan kemudian memegang jawatan seperti Bendahari Agung dan Pengarah Komunikasi PKR.

“Pusat khidmat pertama yang saya cari ketika itu sebenarnya boleh digelar sebagai ‘ruang kongsi’ kerana saya tidak mampu menyewa keseluruhan premis, sebaliknya hanya mampu menyewa separuh ruang pejabat tingkat atas di Jalan Haji Ahmad, Kuantan.

“Rasa segan dan rasa bersalah berbaur apabila diimbau semula pengalaman ini, kerana pembantu pertama saya, Pang hanya mampu saya berikan elaun minyak sebanyak RM300 sebulan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengimbas pembabitannya dalam beberapa kempen parti termasuk #KitaLawan serta usaha menuntut pembebasan Anwar selepas beliau dipenjarakan pada 2015 serta usaha memperjuangkan isu alam sekitar di beberapa lokasi termasuk Tasik Chini dan Baram, Sarawak.

Chean Chung berkata, beliau pernah berdepan risiko kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat apabila didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman susulan pembabitannya dalam siri himpunan menuntut pembebasan Anwar dan reformasi institusi.

“Pada 9 Februari 2015, sehari sebelum Anwar Ibrahim dipenjarakan, saya bersama rakan-rakan seperjuangan menganjurkan majlis makan malam solidariti di Padang Timur, Petaling Jaya yang dihadiri ribuan orang.

“Selepas Anwar dipenjarakan, kami menggerakkan kempen #Kitalawan sepanjang 2015 hingga 2016 untuk menuntut pembebasan Anwar, siasatan terhadap (Datuk Seri) Najib (Razak) dan reformasi institusi.

“Ketika itu Pas sudah keluar dan Pakatan Rakyat telah berpecah. Saya menyaksikan sendiri bagaimana himpunan di Sogo yang pada awalnya kecil dan lengang, kemudian berkembang semakin besar seiring dengan perkembangan isu 1MDB dan pelbagai isu lain. Ia benar-benar satu keajaiban kuasa rakyat,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img