Ahmad Maslan, pemimpin UMNO Pontian buat laporan polis isu tahanan rumah Najib

ISU penangguhan pelaksanaan perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibawa ke saluran pihak berkuasa apabila beberapa pemimpin UMNO Bahagian Pontian membuat laporan polis berhubung perkara itu hari ini.

Laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Benut kira-kira jam 12.30 tengah hari oleh Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan bersama timbalannya, Datuk Mohd Sumali Reduan dan Naib Ketua Bahagian, Jamaludin Abd Majid serta beberapa pemimpin akar umbi parti.

Ahmad berkata, laporan itu antara lain membangkitkan persoalan berhubung kelewatan pelaksanaan perintah tahanan rumah terhadap Najib yang menurut mereka sepatutnya dilaksanakan tanpa sebarang alasan penangguhan.

Tindakan itu menyusul selepas UMNO secara terbuka mendesak supaya perintah berkenaan dilaksanakan segera, selain menuntut tindakan undang-undang tegas terhadap mana-mana pihak yang didakwa ingkar titah Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu menyambut baik titah tegas Sultan Ibrahim berhubung pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam Najib turut menggesa supaya bekas Perdana Menteri itu dipindahkan segera dari Penjara Kajang ke kediamannya bagi menjalani tahanan rumah.

Desakan itu dibuat susulan penjelasan Istana Negara bahawa semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib sudah dipenuhi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here