SEORANG wanita yang ditahan bagi membantu siasatan kemalangan maut mengorbankan pasangan suami isteri pesara polis di Kilometer 114.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Sungai Petani semalam, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, wanita terbabit dibebaskan selepas keterangannya diambil bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Wanita itu ditahan malam tadi dan pagi ini diberi jamin polis,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Hanyan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai peranan wanita berkenaan ketika kejadian, termasuk sama ada dia merupakan pemandu atau penumpang kenderaan terbabit.
“Semuanya masih dalam siasatan,” katanya.
Dalam kejadian semalam, pasangan pesara polis, Suhaimi Saidin, 64, dan isterinya, Normah Hashim, 60, maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal berhampiran Tikam Batu, ketika dalam perjalanan menghala ke utara.
Kedua-dua mangsa yang berasal dari Taman Bandar Utama, Sungai Lalang, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.





