PH jadikan kerjasama BN-PN alat propaganda – Ahmad Samsuri

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa Pakatan Harapan (PH) menjadikan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai alat propaganda bagi mempengaruhi pengundi supaya menolak gabungan terbabit.

Menurut beliau, meskipun pemimpin gabungan itu telah pun memberi penjelasan beberapa kali tentang kerjasama terbabit yang tidak membawa kepada isu perkauman, namun PH masih berterusan bercakap mengenainya.

“Kalau kita tengok propaganda ini, mereka fikirkan bila diulang-ulang, lama-lama orang percaya.

“Tetapi saya rasa rakyat sudah celik pada waktu ini, dengan maklumat di hujung jari setiap orang, masing-masing boleh tengok apa yang diucapkan lima atau 10 tahun dahulu yang ada dirakamkan.

“Jadi tak timbul pun isu itu, mereka sebenarnya yang menimbulkan masalah sedemikian, ini boleh dilihat pada rekod yang lalu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri program ‘Nogori Beradat, Kito Muafakat’ anjuran Muafakat Nasional di Pusat Penerangan dan Komunikasi PN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Senawang, petang tadi, lapor Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan Pas sering menjadikan DAP sebagai modal kempen bagi meraih sokongan, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.

Ahmad Samsuri mendakwa, masalah yang membelenggu PH ketika ini sebenarnya berpunca daripada kelemahan dalaman gabungan itu sendiri.

“Apa yang berlaku ialah self-destruction. Mereka yang beri masalah kepada diri mereka sendiri. Jadi, kenapa dilabelkan kita ‘meratib’ pula? Masalah ditimbulkan oleh mereka sendiri. Kena buat cerminan sendiri,” katanya.

Beliau menjawab soalan pemberita berkenaan dakwaan sesetengah pihak yang parti itu kerap menggunakan DAP sebagai modal kempen sepanjang PRN Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias pula berkata, PH menjadikan kerjasama BN-PN sebagai modal kempen mereka bagi menanamkan rasa benci antara kaum.

Pada masa sama jelasnya, ia bagi mengalihkan perhatian terhadap kelemahan mereka sendiri.

“Mencetuskan isu perkauman telah menjadi budaya mereka sejak sekian lama, ini sebagai modal politik ketika musim pilihan raya untuk mengalahkan parti-parti tertentu, khususnya UMNO dan BN.

“Ini kerana kita telah pun membuktikan di beberapa negeri yang dipimpin oleh PN dan Pas bahawa semua kaum dapat dijaga serta diurus dengan baik.

“Sama ada aspek pembangunan, kesejahteraan rakyat, pendidikan mahu pun pemeliharaan warisan, adat dan agama, semuanya diurus secara baik,” katanya.

 

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img