TUJUH rakyat Palestin terbunuh manakala 18 lagi cedera pada Rabu selepas satu serangan udara Israel menyasarkan sebuah apartmen dalam bangunan kediaman di tengah Bandar Gaza ketika umat Islam menyambut Aidiladha
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memaklumkan bahawa pasukannya menemui empat mayat dan membawa 18 mangsa cedera susulan serangan berhampiran Menara Al-Israa di Jalan Omar al-Mukhtar.
Wartawan Al Mayadeen di Gaza melaporkan bahawa serangan itu menyasarkan sebuah rumah berhampiran Taman Perbandaran di pusat Bandar Gaza.
Tentera Israel mendakwa pihaknya menyasarkan dua anggota kanan Hamas di utara Gaza.
Akhbar Israel, Yedioth Ahronoth, melaporkan bahawa sasaran berkenaan termasuk komander briged Hamas di utara Gaza dan timbalan komander briged Bandar Gaza, namun identiti mereka tidak didedahkan.
Sehingga petang Rabu, Hamas belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan Israel itu.
Perbuatan kejam Israel itu berlaku ketika serangan Zionis berterusan di seluruh Semenanjung Gaza meskipun perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada Oktober 2025 masih berjalan.
Serangan Israel turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan lain di Gaza sepanjang hari tersebut.
Menurut Al Mayadeen, pasukan pertahanan awam menemui tambahan mangsa terbunuh dan cedera selepas bedilan artileri Israel di timur Khan Yunis, selatan Gaza.
Terdahulu pada Rabu, tentera laut Israel turut melepaskan tembakan ke arah pesisir pantai Bandar Gaza.
Serangan terkini itu menyusuli pengeboman Israel pada waktu malam di kawasan Al-Rimal, Bandar Gaza, yang mengorbankan enam rakyat Palestin.
Pejabat Media Kerajaan Gaza pada Rabu memaklumkan bahawa Israel telah melakukan sebanyak 3,005 “pelanggaran serius” terhadap perjanjian gencatan senjata sepanjang 227 hari sejak ia berkuat kuasa.
Pihak berkuasa berkata, pelanggaran berterusan itu merupakan sebahagian daripada “genosid berterusan” di Gaza yang terus meningkatkan jumlah mangsa terbunuh, cedera dan hilang, selain memburukkan lagi penderitaan kemanusiaan di seluruh wilayah tersebut.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Gaza dilaporkan telah mengorbankan lebih 72,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 172,000 yang lain, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Dalam perkembangan berasingan pada Rabu, pihak berkuasa Israel membebaskan 15 tahanan Palestin dari Gaza, termasuk seorang wanita, melalui lintasan Kerem Abu Salem.
Quds News Network melaporkan bahawa tahanan berkenaan dipindahkan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah ke Hospital Al-Aqsa Martyrs di tengah Gaza untuk pemeriksaan kesihatan.
Sumber perubatan menyifatkan keadaan tahanan yang dibebaskan itu sebagai “kritikal”, susulan apa yang mereka alami di penjara Israel termasuk kebuluran serta penderaan fizikal dan psikologi.
Palang Merah mengesahkan pihaknya memudahkan proses pemindahan tahanan terbabit dan membantu mereka bertemu semula dengan keluarga masing-masing.
Organisasi itu turut menyatakan bahawa sejak 2023, ia telah memudahkan pemindahan lebih 2,500 tahanan yang dibebaskan menerusi operasi seumpama itu.


