Majikan warga China dicekup gaji pekerja senegara tanpa permit

TAKTIK seorang majikan warga China menggaji rakan senegara tanpa permit kerja sah di sebuah kilang kusyen kereta terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), kelmarin.

Serbuan menerusi Ops Mahir dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya kira-kira jam 12.30 tengah hari di sebuah kilang pengubahsuaian dan pembekal kusyen kereta.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, hasil risikan selama seminggu mendapati premis berkenaan dimiliki dan diuruskan warga China yang dipercayai sengaja menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.

“Majikan terbabit dikesan memilih dan menggaji warga asing terutama rakan senegara dari China tanpa permit kerja atau dokumen perjalanan yang sah.

“Pasukan serbuan yang disertai 17 pegawai pelbagai pangkat membuat pemeriksaan terhadap 24 individu terdiri daripada 21 warga asing dan tiga warga tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil operasi itu membawa kepada penahanan 16 warga asing termasuk warga China dan Myanmar berusia antara 26 hingga 35 tahun atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, tiga Borang 29 saman kepada saksi turut dikeluarkan terhadap warga tempatan bagi membantu siasatan.

“Semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Lokman berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas di negara ini.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img