ENAM pendaki yang dilaporkan hilang ketika menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan berjaya dibawa keluar ke Kampung Lelar malam ini selepas ditemui selamat di Kem Kulim.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, kesemua mangsa dibawa keluar oleh pasukan penyelamat dan tiba di Kampung Kelar pada kira-kira jam 8.45 malam.
“Mereka kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Pos Kemar, Gerik untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.
“Perkembangan operasi sehingga jam 9.20 malam mendapati kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Kesemua mangsa sebelum itu ditemui di Kem Kulim oleh pasukan malim gunung dari Perak dan Kelantan yang membabitkan 10 anggota.
Enam individu terbabit terdiri daripada empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak serta dua malim gunung.
Terdahulu, Abdul Samad mengesahkan semua pendaki selamat selepas pihaknya berjaya menghubungi seorang malim gunung yang bersama kumpulan berkenaan.
Operasi menyelamat kemudiannya digerakkan bagi membawa kesemua mangsa keluar dari kawasan pendakian.





