KEPANTASAN sembilan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah bertindak membantu memadam kebakaran sebuah lori lima tan yang membawa muatan dedak makanan berjaya mengelakkan kenderaan itu daripada hangus terbakar di kawasan sempadan Perak, hari ini.
Ketika kejadian, kontinjen JBPM Kedah itu sedang dalam perjalanan ke Putrajaya bagi menyertai Sukan Bomba Malaysia (SUKBOM) sebelum menyedari kebakaran melibatkan lori berkenaan di susur keluar selepas Tol Changkat Jering.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, kejadian itu disedari Pegawai Bomba, Kamarul Azam Mat Isa yang berada di bahagian hadapan kenderaan dan segera mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan bagi memberi bantuan.
Beliau berkata, anggota kontinjen renang JBPM Kedah kemudian bertindak melakukan pemadaman awal menggunakan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki.
“Ketika itu kami semua dalam perjalanan ke SUKBOM di Putrajaya dan tidak sangka terserempak dengan kejadian itu.
“Berbekalkan pengalaman sebagai pegawai dan anggota bomba, kami berjaya mengawal kebakaran lori berkenaan.
“Kami menggunakan hampir lapan alat pemadam api yang disediakan di kawasan tol selain mendapatkan sumber air domestik daripada rumah berhampiran di tepi lebuh raya,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Menurut Zulkhairi, semua anggota turut membuka kanvas penutup di bahagian belakang lori bagi membantu proses pengudaraan dan memastikan api dipadamkan sepenuhnya.
Katanya, sebaik keadaan terkawal, operasi diserahkan kepada Komander Operasi dari BBP Taiping yang tiba di lokasi untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari apabila pemandu lori dan kelindannya terhidu bau hangit sebelum terdengar letupan kecil di bahagian tayar belakang.
“Mereka kemudian segera memberhentikan lori sebelum bantuan awal diberikan oleh kontinjen JBPM Kedah yang kebetulan melalui lokasi berkenaan,” katanya.
Katanya, kes itu kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.






