PASUKAN Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menyelamatkan pendaki lelaki sejauh kira-kira tujuh kilometer selepas mangsa mengalami kecederaan kaki dan tidak mampu meneruskan perjalanan ketika mendaki Gunung Chemerong, dekat Hutan Simpan Pasir Raja, Dungun.
Mangsa berusia 48 tahun itu berjaya dibawa keluar dalam operasi menyelamat yang berdepan pelbagai cabaran termasuk cuaca hujan serta laluan berbukit dan curam.
Timbalan Pengarah JBPM Terengganu, Penguasa Kanan Bomba I Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.21 tengah hari semalam.
Menurutnya, seramai enam anggota bomba dikerahkan ke lokasi selepas menerima laporan seorang peserta pendakian mengalami kecederaan pada kaki dan keletihan sehingga tidak dapat berjalan.
“Ketika laporan diterima, mangsa berada di kawasan Air Terjun Sungai Bangan di Gunung Chemerong dan berada dalam keadaan stabil.
“Mangsa dipercayai mengalami kecederaan pada kaki selain keletihan sehingga memerlukan bantuan pasukan penyelamat untuk dibawa turun dari kawasan gunung,” katanya.
Beliau berkata, lokasi mangsa berada kira-kira tujuh kilometer dari kaki gunung dan pasukan penyelamat mengambil masa hampir enam jam untuk tiba ke lokasi.
Katanya, operasi menyelamat turut berdepan kesukaran berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu selain bentuk muka bumi yang berliku dan curam.
“Mangsa akhirnya berjaya dibawa keluar dan tiba di Pos Kawalan Bomba (PKB) di kaki Gunung Chemerong pada jam 11.55 pagi tadi sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, aktiviti pendakian itu disertai seramai 27 peserta termasuk lapan wanita daripada sebuah kelab guru dan staf sekolah menengah di Selangor serta empat malim gunung.
Beliau berkata, semua peserta lain dilaporkan selamat dan operasi menyelamat ditamatkan sebaik mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan.


