Anak pinjam dengan ah long, rumah bapa jadi mangsa simbah cat

PEMILIK sebuah rumah separuh berkembar setingkat di Taman Tunku Haminah, Sungai Petani menjadi mangsa disimbah cat merah dipercayai dilakukan oleh sindiket peminjam wang tanpa lesen atau ah long, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, dinding rumah serta dua kereta mewah milik penghuni rumah itu turut terkena simbahan cat merah selain nota ugutan dipercayai ditinggalkan individu terbabit.

Pemilik rumah berkenaan, Tan Lee Ling, 53, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 7 pagi ketika mahu keluar bekerja.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki memakai topi dan pelitup muka datang ke rumahnya sebelum melakukan perbuatan itu.

“Ah long itu turut meninggalkan nota ugutan mahu membakar rumah dan mengunci pagar jika hutang tidak dijelaskan.

“Apa yang mengejutkan, nota itu seolah-olah mencabar polis apabila meminta kami menyerahkan surat itu kepada pihak berkuasa supaya polis datang menjaga rumah,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Lee Ling yang mengusahakan perniagaan kilang besi berkata, anak sulungnya berusia 33 tahun dipercayai terbabit dengan kegiatan perjudian dan sudah lama berhutang dengan ah long.

Katanya, sejak lebih 10 tahun lalu dia sudah beberapa kali melangsaikan hutang anaknya mencecah RM10,000 setiap kali, dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM300,000 hingga RM400,000.

“Saya sudah tidak tahan dan menghalaunya keluar dari rumah beberapa tahun lalu. Selepas itu kami jarang berhubung.

“Bagaimanapun dia kadang-kadang datang secara senyap untuk bertemu ibunya ketika saya tiada di rumah,” katanya.

Menurut Lee Ling, keluarga hanya mengetahui anaknya kembali berhutang selepas ah long datang mencari lelaki itu bulan lalu.

“Saya tak mampu lagi bantu bayar hutangnya dan saya juga tidak tahu jumlah sebenar pinjaman dibuat,” katanya.

Beliau turut mendakwa pernah membuat laporan polis sebelum ini susulan gangguan ah long, namun kumpulan itu dikatakan mengetahui kandungan laporan termasuk nombor laporan polis terbabit.

“Sebab itu saya mahu bawa perkara ini ke Bukit Aman supaya siasatan lebih menyeluruh dijalankan,” katanya.

Lee Ling berkata, ah long sebelum ini turut mengganggu ahli keluarga dan rakan selain menampal poster di kilangnya serta menghantar video ugutan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img