Ekspedisi Trans-Siberia 5 sejauh 19,000 kilometer mulakan kembara dari Kuala Lumpur ke Rusia

EKSPEDISI merentas laluan off-road Trans-Siberia 5 membabitkan perjalanan merentasi Asia sejauh 19,000 kilometer memulakan perjalanan dari ibu negara ke Vladivostok, Rusia yang dilancarkan semalam.

Majlis pelepasan (flag-off) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu menyaksikan seramai 52 peserta termasuk golongan profesional, tokoh korporat, usahawan dan pemilik perniagaan memulakan misi selama 69 hari merentasi enam negara iaitu Malaysia, Thailand, Laos, China, Mongolia dan Rusia.

THOMAS Foo

Menurut ketua ekspedisi itu, Thomas Foo, ekspedisi tersebut bukan sekadar konvoi kenderaan lasak, sebaliknya simbol ketahanan mental, fizikal serta semangat eksplorasi moden.

“Trans-Siberia 5 bukan sekadar perjalanan darat biasa, tetapi sebuah ekspedisi yang dibina atas semangat ketahanan, kerjasama berpasukan dan daya juang tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis pelepasan rasmi itu.

Yang turut hadir, Duta Persekutuan Rusia ke Malaysia, Naiyl Latypov; Duta Laos ke Malaysia, Thepthavone Sengmany; Konsul Kehormat Mongolia, Datuk Eddie Ong Choo Meng yang diwakili Setiausaha Pertama, Teh Li King serta Pengarah Jualan dan Acara WTC Kuala Lumpur, Mohd Rizan Salleh.

Thomas yang dikenali sebagai Tango berkata, ekspedisi itu melibatkan 14 buah kenderaan off-road termasuk beberapa model Toyota Land Cruiser dan empat unit GWM Tank 500 yang akan diuji dalam pelbagai keadaan ekstrem seperti laluan gurun, kawasan altitud tinggi, jalan gunung, suhu melampau serta laluan terpencil tanpa kemudahan asas.

Menurutnya, perjalanan bermula dari Kuala Lumpur sebelum memasuki Thailand, Laos dan Tibet di China, seterusnya merentasi Xinjiang, Mongolia dan Siberia sebelum berakhir pada penghujung Julai nanti di Vladivostok iaitu lokasi ikonik yang sering dianggap sebagai penamat simbolik antara ekspedisi jelajah darat paling mencabar di dunia.

Menurut Thomas lagi, ekspedisi itu turut berfungsi sebagai platform dunia sebenar bagi pengeluar automotif menguji kemampuan kenderaan dalam situasi ekstrem, sekali gus memberi pengalaman autentik kepada pengguna.

“Pengguna hari ini tidak lagi hanya mahu melihat iklan atau spesifikasi atas kertas. Mereka mahu bukti sebenar kemampuan sesebuah kenderaan,” katanya.

Katanya, selain mengetengahkan budaya pengembaraan darat dan dunia pemanduan lasak, ekspedisi berkenaan turut dilihat sebagai usaha memperkukuh industri pelancongan rentas sempadan serta ekosistem mobiliti pengembaraan yang semakin berkembang di Asia.

Peserta bakal berdepan pelbagai cabaran termasuk Gurun Gobi, ribut debu, cuaca sejuk ekstrem serta laluan yang mampu menjangkau ratusan kilometer tanpa fasiliti asas.

Ekspedisi Trans-Siberia 5 turut menjadi sebahagian daripada platform promosi Asia Offroad Expo & Convention (AOX) 2026 yang dijadual berlangsung di WTC Kuala Lumpur pada Oktober depan.

Penganjur, Overland Explorer Centre percaya gabungan elemen automotif, pelancongan, pengembaraan dan gaya hidup outdoor mampu menjadikan Asia sebagai hab baharu industri pengembaraan darat dan pemanduan lasak bertaraf antarabangsa.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img