DUA buah kereta jenis Perodua yang diletakkan di luar kawasan Kolej Jururawat Kuala Pilah menjadi mangsa penjenayah yang menyasarkan tayar dan rim kereta kenderaan itu pada waktu malam hingga awal pagi, baru-baru ini.
Kejadian kecurian komponen kenderaan membabitkan dua kereta yang diparkir di kawasan parkir luar kolej berkenaan dilaporkan berlaku pada 15 dan 18 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, polis menerima laporan berhubung kehilangan rim beserta tayar membabitkan dua kereta yang diparkir di kawasan parkir luar kolej berkenaan pada 18 Mei lalu.
Beliau berkata, satu daripada laporan membabitkan kereta Perodua Bezza apabila mangsa mendapati keempat-empat roda hilang kira-kira jam 7 pagi, 18 Mei lalu selepas dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp.
“Satu lagi laporan pula membabitkan sebuah Perodua Axia SE yang diparkir di lokasi sama mengalami kehilangan keempat-empat tayar beserta rim.
“Pemilik kenderaan itu memaklumkan kereta diletakkan dalam keadaan berkunci dan baik kira-kira jam 7.45 malam 15 Mei lalu sebelum mendapati tayar keretanya hilang pada 18 Mei,” katanya dalam kenyataan.
Muhamad Mustafah berkata, kawasan parkir itu didapati gelap dan sunyi pada waktu malam kerana tiada lampu jalan selain tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan dan anggaran kerugian dialami kedua-dua mangsa sekitar RM2,000.


