Anggota Kabinet langgar tatasusila perlu letak jawatan – Anwar

MANA-mana anggota Kabinet yang melanggar tatasusila dengan menggunakan bahasa tidak wajar atau bertindak secara tidak sopan terhadap rakan dalam kerajaan perlu meletakkan jawatan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perbezaan pendapat dalam kalangan anggota pentadbiran perlu diselesaikan menerusi saluran rasmi dan bukannya dibawa ke ruang awam dengan menggunakan bahasa yang tidak sesuai.

Mengulas keterlanjuran kata-kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Anwar berkata, beliau memahami ketegangan politik terutama ketika musim pilihan raya boleh menyebabkan seseorang terbawa-bawa menggunakan bahasa kurang sesuai.

Bagaimanapun, katanya, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku dalam urusan rasmi kerajaan.

“Jika ada pihak yang melanggar prinsip ini pada masa depan, mereka perlu meletakkan jawatan atau dinasihatkan supaya berbuat demikian kerana sistem kita tidak boleh berfungsi dengan cara itu.

“Jika terdapat perbezaan pendapat, perkara itu boleh dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet. Jika sesuatu keputusan perlu diubah, ia boleh dibawa ke saluran sewajarnya,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau menerima permohonan maaf Ahmad berhubung insiden berkenaan dan menghargai tindakan Timbalan Menteri itu yang mengakui kesilapannya.

“Dalam kes ini, saya berterima kasih kepadanya dan menghargai semangat positif yang ditunjukkannya,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2026 di Shenzhen, China hari ini, lapor Buletin TV3.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana membantu menangani perkara itu bagi memastikan tatasusila dalam pentadbiran kerajaan serta sikap saling menghormati antara anggota Kabinet terus dipelihara.

Terdahulu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian memohon maaf kepada Perdana Menteri selepas menggunakan perkataan ‘kencing’ dalam pantun ketika sesi penggulungan perbahasan kementeriannya di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.

Menerusi surat bertarikh 17 November, Ahmad mengakui pemilihan perkataan dalam pantun berkenaan tidak sesuai bagi seseorang yang menganggotai pentadbiran kerajaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here