JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini melaksanakan penerbangan khas menggunakan helikopter bagi membawa organ penderma Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, dari Kota Bharu ke Subang.
Operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) itu membabitkan penghantaran organ hati, buah pinggang, mata dan tulang yang didermakan Allahyarham ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

Bahagian Udara JBPM menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, penerbangan menggunakan helikopter AW139 itu diketuai Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Fissol Ismail bersama tiga kru udara.
Menurutnya, dua doktor perubatan dari HPUSM turut menyertai penerbangan berkenaan bagi mengiringi penghantaran organ yang kemudiannya dibawa menggunakan ambulans ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur dan Hospital Selayang.
Helikopter berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Utara pada jam 7.25 pagi sebelum tiba di Lapangan Terbang Kota Bharu pada jam 8.55 pagi.
Pesawat itu kemudian berlepas semula pada jam 9.03 pagi dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Subang pada jam 10.42 pagi.

“Penerbangan dilaksanakan dengan jaya dan selamat walaupun keadaan cuaca mendung dan awan rendah serta hujan renyai di beberapa kawasan laluan penerbangan,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, suasana pilu menyelubungi HPUSM, Kubang Kerian apabila kakitangan hospital mengadakan penghormatan terakhir menerusi upacara ‘Honor Walk‘ kepada Allahyarham awal pagi tadi.
Lampu hijau turut dipasang pada bangunan hospital berkenaan sebagai tanda penghormatan dan simbolik kepada proses pendermaan organ.
Orang ramai serta kenalan Allahyarham turut hadir memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah dibawa untuk urusan seterusnya.
Allahyarham dilaporkan dimasukkan ke HPUSM selepas mengalami kecederaan parah dalam kemalangan jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia malam tadi.





