SEORANG anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat Lans Koperal didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Lahad Datu, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki 538 mililiter cecair mengandungi racun jenis diphenhydramine, Januari lalu.
Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Azme Zainudin, 27, selain menetapkan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki cecair berisipadu 538 mililiter mengandungi racun jenis diphenhydramine di kawasan tepi jalan, Jalan Fajar, pada jam 12.30 tengah hari, 31 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952, dibaca bersama Seksyen 9(3) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2), lapor Harian Metro.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu yang menjalankan serbuan di lokasi berkenaan kira-kira jam 1.24 tengah hari.
Pemeriksaan terhadap sebuah beg dan bakul motosikal yang digunakan tertuduh menemukan 23 botol cecair disyaki air ketum dengan anggaran isi padu 34.5 liter serta enam botol sirap Dynadryl yang disyaki ubat batuk, berisipadu kira-kira 600 mililiter.
Bagaimanapun, analisis Jabatan Kimia Malaysia di Tawau mendapati cecair dalam 23 botol berkenaan tidak mengandungi mitragynine, manakala sampel daripada enam botol sirap Dynadryl mengandungi diphenhydramine dengan jumlah isi padu 538 mililiter.
Ketika merayu hukuman, tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan dia kini ditahan kerja susulan kes berkenaan, selain menjadi satu-satunya pencari nafkah keluarga yang mempunyai seorang isteri dan anak.
Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan penjawat awam lain, selain menegaskan kepentingan awam tidak boleh mengatasi kepentingan individu.





