Upah RM1,000 setiap bagasi, pasangan bawa ganja ke Mauritius ditahan

TAWARAN upah RM1,000 bagi setiap bagasi berisi dadah mendorong sepasang suami isteri rakyat Malaysia membawa empat bagasi mengandungi ganja ke Mauritius sebelum ditahan pihak berkuasa negara itu, 2 November lalu.

Pasangan berusia 22 dan 18 tahun dari Pulau Pinang itu direkrut menerusi aplikasi telefon pintar selepas berkenalan dengan seorang individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati pasangan berkenaan dihubungi individu terbabit melalui aplikasi Telegram sebelum ditawarkan bayaran bagi membawa bagasi ke Mauritius.

“Pasangan terbabit bersetuju membawa empat bagasi, manakala tiket penerbangan dan penginapan hotel mereka diuruskan serta dibiayai sepenuhnya oleh individu berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, kedua-dua suspek diarahkan ke Bangkok, Thailand untuk mengambil empat bagasi itu sebelum meneruskan perjalanan ke Mauritius melalui Dubai.

Mereka turut diarahkan memuat turun aplikasi Life360 bagi membolehkan pergerakan dipantau, selain menyerahkan salinan pasport melalui Telegram.

Menurut Hussein, siasatan awal mendapati pasangan itu memasuki Mauritius atas tujuan percutian dan dijadualkan menginap selama lima hari di Domaine de Grand Baie Hotel.

Bagaimanapun, selepas ditahan, mereka menyedari perbualan dalam kumpulan Telegram dipadamkan, manakala individu yang dipercayai ketua sindiket tidak lagi dapat dihubungi.

Hussein berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima maklumat daripada pihak berkuasa Mauritius berhubung penahanan tiga rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam (SSRIA).

“Mereka ditahan pada 2 November lalu, jam 2.35 petang, sejurus tiba menerusi penerbangan Emirates EK709 dari Dubai.

“Tangkapan dilakukan Unit Antidadah dan Antipenyeludupan (ADSU) dengan kerjasama Kastam Mauritius berdasarkan maklumat risikan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap bagasi pasangan itu menemukan 60 paket plastik mengandungi bahan tumbuhan disyaki ganja dengan anggaran berat kasar 65 kilogram (kg).

“Pemeriksaan turut menemukan peranti pengesan jenama Apple di dalam setiap bagasi yang dibawa seorang daripada suspek.

“Seorang lagi suspek, lelaki berusia 30 tahun dari Sabah yang bekerja di Singapura, turut ditahan bersama 10 paket plastik mengandungi bahan tumbuhan disyaki ganja,” katanya.

Menurut Hussein, siasatan awal mendapati lelaki itu menemui iklan pekerjaan di Singapura menerusi Facebook sebelum dihubungi seorang individu melalui Telegram.

Semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Hussein berkata, JSJN akan meneruskan penyelarasan risikan dan kerjasama dengan pihak berkuasa Mauritius bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai penahanan serta rampasan, selain mengenal pasti kemungkinan pembabitan rangkaian sindiket yang mempunyai kaitan dengan Malaysia.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Hasil Mauritius (MRA) dalam kenyataan pada 4 November lalu mengesahkan penahanan tiga rakyat Malaysia selepas 70 bungkusan plastik kedap udara mengandungi 76.14kg dadah disyaki ganja ditemukan dalam bagasi mereka.

Rampasan itu dianggarkan bernilai 114.21 juta Rupee Mauritius, bersamaan kira-kira RM9.87 juta mengikut harga pasaran negara berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here