SEORANG anggota polis maut selepas tercampak keluar dari kereta dipandunya yang hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 30, Jalan Persekutuan Pasir Puteh-Kota Bharu berhampiran Simpang Kampung Banir Belikong, Pasir Puteh malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Saari Yaacob berkata, dalam kejadian jam 11.50 malam itu, mangsa berusia 28 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Terengganu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pasir Puteh dari arah Kota Bharu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kelisa yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.
“Akibat impak kemalangan itu, mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan parah di kepala. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saari berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Pasir Puteh, Inspektor Abdul Munir Mohd Fauzi di talian 013-987 2579 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran.






