SEORANG anggota polis maut manakala tiga lagi cedera apabila kenderaan dinaiki mereka terlanggar sebiji tayar lori yang tercicir di Kilometer 140.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Pulau Pinang awal pagi tadi.
Kemalangan tragis itu berlaku kira-kira jam 6 pagi membabitkan sebuah kereta dan motosikal ditunggang anggota polis terbabit.

Mangsa yang maut ialah Sarjan Norshairul Subkri Salim, 40, bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang anggota polis terbabit terlanggar tayar berkenaan menyebabkan mangsa terjatuh dan terseret di atas permukaan lebuh raya.
“Pada masa yang sama, sebuah kereta dari arah Juru menghala ke Seberang Jaya turut terlanggar tayar itu menyebabkan ia terbabas ke bahu kiri lebih raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dennis, pemandu bersama dua penumpang kereta yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) mendapatkan rawatan lanjut.
Ujar beliau, tayar yang tercicir di tengah lebuh raya disyaki datang daripada sebuah lori yang masih belum dikenal pasti.
Beliau memaklumkan, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik HSJ mengesahkan punca kematian anggota polis itu disebabkan kecederaan parah di kepala akibat kemalangan.
Dennis berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kini giat mengesan pemilik tayar lori yang menjadi punca utama kemalangan tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau memiliki rakaman kamera papan pemuka diminta tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nor Aliza Fatim Ismail di talian 017-404 6215 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Difahamkan, jenazah anggota polis berkenaan telah dibawa pulang ke kampung halamannya dan selamat disemadikan di Kampung Bukit Chabang, Padang Besar, Perlis petang ini.






