PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh jururawat di negara ini atas jasa dan pengorbanan mereka dalam menjaga kebajikan serta kesihatan rakyat sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Anwar berkata, jururawat antara insan terawal yang menyambut kelahiran manusia dan terus setia berkhidmat menjaga pesakit sehingga ke penghujung usia.
“Sejak lahir ke dunia, antara yang terawal menyambut dan menjaga kita adalah para jururawat.
“Mereka ada tatkala ibu menahan sakit melahirkan kita, ada mendengar tangisan pertama kita, menjaga ketika kita diuji sakit, dan terus setia berkhidmat menjaga hingga ke penghujung usia kita,” ujarnya.
Beliau berkata, jururawat bukan sahaja menenangkan pesakit yang menahan derita dan memujuk kanak-kanak yang ketakutan, malah turut memberi kekuatan kepada keluarga yang cemas serta menjadi antara insan paling dekat memahami keadaan pesakit.
“Pengalaman serta ketelitian mereka juga menjadi tonggak penting membantu doktor memberikan rawatan terbaik,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Anwar menyifatkan profesion jururawat sebagai kerjaya mulia yang menuntut pengorbanan besar, kekuatan jiwa dan ketulusan hati luar biasa.
“Besarnya jasa jururawat sering tidak terungkap dengan kata-kata, namun pengorbanan mereka amat besar nilainya buat rakyat dan negara.
“Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan kalian. Selamat Hari Jururawat Sedunia.,” katanya.


