Malaysia-Brunei sepakat selesaikan segera isu sempadan – PM

MALAYSIA dan Brunei bersetuju memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan sempadan, imigresen, pendidikan, pengurusan bencana dan perdagangan serta pelaburan bagi memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu sempadan yang sudah lama tertangguh antara kedua-dua negara turut diberi perhatian utama dalam perbincangan beliau bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan hari ini.

Menurut beliau, persefahaman awal yang baik dicapai bagi memastikan kawasan dipersetujui sebagai milik Brunei dan Sarawak dikekalkan, selaras kepentingan kedua-dua negara.

Katanya, kira-kira 50 peratus proses berkaitan sempadan sudah diselesaikan, manakala baki perkara yang masih belum dimuktamadkan akan diteliti secara terperinci oleh jawatankuasa teknikal kedua-dua negara.

“Alhamdulillah, 50 peratus selesai. Dalam baki itu memang ada perkara yang memerlukan penelitian lanjut.

“Jadi, kita bersetuju kedua-dua pihak mencari kaedah supaya hak dan kepentingan Malaysia dapat diberi pengiktirafan berdasarkan undang-undang dan perbatasan, begitu juga hak dan kepentingan Brunei berdasarkan faktor sama,” katanya dalam sidang media selepas mengakhiri lawatan kerja dua hari beliau ke Brunei di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di Bandar Seri Begawan hari ini, lapor BH.

Yang turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Anwar berkata, isu yang terbantut sejak 60 tahun itu diyakini dapat dileraikan, dengan jawatankuasa teknikal perlu meneliti secara terperinci sebelum mengemukakan hasil untuk keputusan selanjutnya.

Tambahnya, walaupun pada peringkat awal, Menteri Luar kedua-dua negara menyasarkan penyelesaian pada awal tahun depan, beliau bersama Sultan Brunei berpandangan parameter asas berkaitan perkara itu boleh diselesaikan sebelum akhir tahun ini, sekali gus menjadikan proses seterusnya hanya sebagai formaliti.

Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia dan Brunei turut melihat keperluan memudahkan pergerakan rakyat kedua-dua negara, khususnya dengan mengurangkan proses pemeriksaan berulang di beberapa pusat pemeriksaan antara Brunei, Sarawak dan Sabah.

Mengenai isu jerebu, Anwar berkata, Malaysia dan Brunei bersetuju menggunakan mekanisme ASEAN yang terbaik bagi menangani perkara berkenaan, dengan kementerian berkaitan akan menyelaras tindakan susulan.

Menyentuh bidang pendidikan, Anwar berkata, Universiti Brunei Darussalam kini mempunyai keupayaan dan prestasi kukuh, justeru beliau akan merujuk perkara pengiktirafan kelayakannya kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Langkah itu, katanya, akan membolehkan pelajar Malaysia khususnya dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung, melanjutkan pengajian di Brunei, sama seperti pelajar Brunei melanjutkan pengajian di institusi pendidikan di Malaysia.

Beliau berkata, perkara itu sebelum ini tertangguh berikutan proses pengiktirafan ijazah, namun usaha akan dipertingkatkan bagi memastikan kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara dapat diperkukuh.

Anwar berkata, kerjasama pengurusan bencana antara Malaysia dan Brunei juga akan diperluas menerusi memorandum persefahaman (MoU) berkaitan operasi mencari dan menyelamat (SAR).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here