Anwar nasihat peserta Bahas Piala Perdana Menteri berhujah tegas, penuh adab

DATUK Seri Anwar Ibrahim menasihati peserta Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Edisi Ke-51 supaya berbahas dengan tegas tetapi tetap mengutamakan adab, selain menghormati perbezaan pandangan.

Perdana Menteri berkata, budaya berbahas bukan sekadar menguji keberanian menyuarakan pendapat, sebaliknya menjadi ruang untuk golongan muda menyusun pemikiran, mempertahankan pendirian serta belajar menghormati pandangan yang berbeza.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

“Pesanan saya, berbahaslah dengan tegas tetapi penuh adab selain berhujah tanpa membenci dan berbeza pandangan tanpa bermusuhan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, beliau berkesempatan meraikan peserta pertandingan itu selepas menghadiri Mesyuarat Jemaah Menteri, menjelang pertandingan akhir yang dijadual berlangsung esok di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya.

Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri yang kini memasuki edisi ke-51 telah berlangsung lebih lima dekad dan menjadi antara wadah pembangunan kemahiran berhujah dalam kalangan pelajar.

Menurut Anwar, pertandingan berkenaan turut meneruskan warisan yang diasaskan oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, sebagai gelanggang yang menguji keberanian, memperkukuh ilmu serta mengasah keupayaan peserta dalam berhujah.

“Saya kagum melihat anak-anak ini begitu peka terhadap perkembangan semasa, berani mengemukakan persoalan dan kritis dalam menilai pelbagai isu,” katanya.

Beliau berkata, keupayaan untuk mendengar dan menghormati perbezaan sama penting dengan keberanian untuk bersuara dalam memastikan amalan demokrasi yang sihat terus dipupuk dalam kalangan generasi muda.

“Demokrasi yang sihat bukan sekadar keberanian untuk bersuara, tetapi juga kesediaan untuk mendengar dan menghormati perbezaan. Selamat berbahas!” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here